PETALING JAYA: Harapan Ng Tze Yong untuk bangkit musim ini musnah seketika apabila pemain perseorangan negara itu disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL) dan bakal jalani pembedahan pada lutut kanannya.
Insiden itu berlaku ketika pusingan pertama Malaysia Masters 2025, memaksa Tze Yong tarik diri selepas alami kesakitan melampau ketika berdepan Angus Ng dari Hong Kong.
Menerusi kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, pemain berusia 25 tahun itu akan menjalani pembedahan selepas keputusan imbasan MRI menunjukkan koyakan ACL yang dialaminya ketika kejohanan terbabit berlangsung, bulan lalu.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengakui tempoh ini sukar buat Tze Yong, namun beliau yakin anak buahnya itu bersikap positif dan tabah menghadapi ujian tersebut.
“Ini saat sukar untuk Tze Yong, tetapi dia cukup kuat dari segi mental dan fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan,” kata Jonassen.
Kini, Tze Yong jalani rawatan pra-pembedahan (prehab) bagi menguatkan lutut dan dijangka lalui tempoh pemulihan panjang sebelum kembali ke gelanggang.
Dalam masa sama, Tze Yong sendiri mengakui sukar menerima hakikat tersebut tetapi berjanji akan kembali lebih kuat selepas menjalani pemulihan menyeluruh.
“Memang sukar untuk terima, tetapi saya anggap ini satu lagi cabaran untuk diatasi,” kata pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022. – UTUSAN