Sang Sik akui Harimau Malaya lawan sukar

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengendali Vietnam, Kim Sang Sik, menyifatkan aksi berdepan skuad Harimau Malaya dalam Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 malam ini sebagai perlawanan paling sukar buat pasukannya dalam kempen kelayakan setakat ini.

“Ini perlawanan yang paling penting dan mungkin yang paling sukar untuk kelayakan ke Piala Asia.

“Kami berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai perancangan tersendiri. Walaupun sukar bermain di tempat lawan, kami akan berusaha sebaik mungkin,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Ketika ditanya mengenai barisan pemain warisan baharu Malaysia, Sang Sik mengakui agak sukar untuk membuat persediaan ekoran kurang maklumat mengenai kemampuan sebenar pemain terbabit.

“Memang susah untuk buat pemerhatian terperinci kerana kami tidak tahu banyak mengenai pemain baharu Malaysia. Namun begitu, semua pemain kami sudah bersedia dan akan bermain sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Rekod 11 tahun tidak dikalahkan Malaysia menyebabkan tekanan tinggi dirasai barisan pemain Vietnam dan Sang Sik sendiri, namun dia mahu memandang perkara itu daripada sudut positif.

“Saya rasa tekanan memang ada, tetapi saya cuba untuk fikir secara positif dan bukan fokus kepada tekanan. Bola sepak sukar dijangka, tetapi kami yakin dengan persediaan kami,” katanya.

Sang Sik yang masih terbuai detik manis di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila memimpin ASEAN All Stars menewaskan Manchester United 1-0 di pada 28 Mei lalu, optimis taktikal yang tepat mampu menghadirkan kemenangan.

“Pengalaman menewaskan United menunjukkan bahawa dengan taktik tepat dan semangat berpasukan tinggi, pemain Asia Tenggara boleh bersaing dengan kelab elit dunia.

“Kemenangan itu bukan sekadar simbolik, ia meningkatkan keyakinan saya bahawa pemain rantau ini mampu pergi lebih jauh, termasuk dalam kelayakan Piala Asia ini,” ujarnya.-UTUSAN