PETALING JAYA: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail tercalon sebagai salah seorang daripada 15 pemain yang merekodkan bantuan gol terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam laman sesawangnya mengumumkan bahawa saingan ACLE bukan sahaja menampilkan banyak gol yang hebat, namun visi dan kreativiti tersebut membolehkan jaringan itu dicipta juga layak untuk diraikan.
Justeru, AFC menyenaraikan 15 bantuan gol terbaik dan penyokong boleh menentukan bantuan jaringan terbaik untuk layak dinobatkan sebagai Bantuan Gol Terbaik Musim 2024/25.
Bantuan gol yang dilakukan pemain berusia 30 tahun itu ketika menentang Ulsan melayakkannya untuk disenaraikan dalam anugerah itu sebaris dengan bintang terkemuka yang lain seperti Roberto Firmino, Riyad Mahrez, Joao Cancelo serta Akram Afif.
“Kemenangan 3-0 JDT ke atas Ulsan yang disempurnakan dengan jaringan Bergson selepas menerima hantaran cantik daripada pemain tengah Malaysia, Afiq Fazail.
“Ini adalah penampilan pertama Afiq pada pentas tertinggi bola sepak Asia itu pada musim ini dan pasti diingati oleh penyokong Johor,” kata badan induk itu.
Afiq juga menjadi satu daripada dua pemain Asia Tenggara yang dicalonkan bagi anugerah tersebut selain pemain Thailand, Suphanat Mueanta dari Buriram United.
Sehingga semalam, pemain itu dilihat mempunyai berpeluang besar memenangi anugerah tersebut apabila mengungguli carta undian dengan 31.36 peratus.
Mengikuti rapat adalah pertahanan Al-Ahli Saudi FC, Roger Ibanez 28.14 peratus undian manakala Riyad Mahrez ditangga ketiga dengan mengumpul 21.97.
Habis