PETALING JAYA: Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) menyambut baik penekanan berterusan kerajaan terhadap pengukuhan ekonomi hijau, salah satu daripada 10 bidang kepelbagaian ekonomi utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Penekanan ini mengukuhkan peluang baharu bagi syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE) Malaysia untuk memacu pertumbuhan mampan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Pemangkinan industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) telah diketengahkan di bawah inisiatif ekonomi hijau RMK13, dengan tumpuan kepada galakan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat OGSE.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd. Yazid Ja’afar berkata, RMK13 mengulangi peranan industri OGSE dalam masa depan rendah karbon Malaysia ketika ia beralih daripada minyak dan gas tradisional kepada peluang peralihan tenaga.
“Ini menyokong komitmen MPRC dalam memajukan penyelesaian mampan dan rendah karbon, satu misi yang kami perjuangkan sejak pelancaran Pelan Induk Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 (Pelan OGSE) pada April 2021 dan dipandu selanjutnya oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam mencapai sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, NETR menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dengan tenaga boleh diperbaharui merangkumi 70 peratus daripada campuran penjanaan dan penghapusan sepenuhnya arang batu menjelang 2044.
“Ini memperkukuh keperluan syarikat OGSE untuk mempelbagaikan perniagaan kepada bidang berkaitan peralihan tenaga dengan memanfaatkan kemahiran dan keupayaan yang boleh dipindah milik.
“Pelan tersebut turut mengenal pasti CCUS sebagai salah satu daripada enam pemacu utama peralihan tenaga, dengan projek Petronas Kasawari dan Lang Lebah CCS termasuk dalam 10 projek utama NETR.
“Susulan kelulusan Akta CCUS pada Mac 2025 dan Perkenan Diraja pada Julai, hala tuju dasar CCUS dalam RMK-13 menegaskan iltizam Kerajaan untuk memposisikan CCUS sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam RMK13, kerajaan turut komited untuk memperkukuh rangka kerja kawal selia, memperluas penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta inovasi (R&D&C&I), serta meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi mempercepatkan pelaksanaan CCUS.
Sejak 2024, MPRC telah bekerjasama rapat dengan Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Kementerian Ekonomi dalam pelaksanaan CCUS, termasuk inisiatif kesedaran awam dan pembangunan Pelan Hala Tuju CCUS.
Inisiatif utama dua MPRC iaitu Pertumbuhan Melangkaui OGSE, yang diperkenalkan dalam Kajian Separuh Penggal Pelan OGSE pada Mac 2025, turut menyokong pembangunan CCUS dengan menggalakkan syarikat OGSE untuk mempelbagaikan ke sektor bersebelahan seperti pengurusan karbon, hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui.
Kajian Separuh Penggal Pelan OGSE bertujuan membangunkan industri OGSE yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global, menyumbang kepada keselamatan tenaga negara, kemampanan dan agenda peralihan tenaga menjelang 2030.
Dalam masa yang sama, MPRC turut mengalu-alukan program pembangunan tenaga nuklear dalam RMK-13 yang akan memperkukuh lagi campuran tenaga rendah karbon negara dan membuka peluang penyertaan baharu bagi syarikat OGSE dalam industri berkaitan.
“MPRC kekal komited untuk membolehkan syarikat OGSE berkembang dalam landskap tenaga yang berubah. Melalui kerjasama strategik, advokasi dasar dan pembangunan keupayaan, kami akan terus memperjuangkan peluang mampan yang menyokong aspirasi sifar bersih Malaysia,” katanya. – UTUSAN