Woods prihatin nasib mangsa kebakaran

Sukan

SAN DIEGO: Tiger Woods mengakui keputusan untuk memindahkan kejohanan The Genesis Invitational dari Riviera Country Club di Los Angeles ke Torrey Pines Golf Course di San Diego adalah keputusan yang sukar, namun perlu dilakukan berikutan kebakaran hutan yang melanda California.

Riviera Country Club, yang terletak di kawasan Pacific Palisades, merupakan antara lokasi yang paling terjejas akibat kebakaran itu dan dijadualkan menjadi tuan rumah kejohanan pada 13 hingga 16 Februari ini.

“Mesyuarat bersama keluarga Watanabe (pemilik Riviera CC) sangat mencabar. Riviera tidak bersedia. Kami mahu kekal di Pantai Barat, dan itu membataskan pilihan kami, sama ada di Pebble, Phoenix, Vegas, San Diego, atau Palm Springs.

“Banyak pertimbangan perlu dibuat, terutama memahami kesan kepada mangsa kebakaran ini,” kata Woods selepas pasukan Jupiter Links Golf Club kendaliannya mencatat kemenangan 4-3 dalam masa tambahan menentang Boston Common Golf pasukan Rory McIlroy pada aksi TGL, Isnin lalu.

Torrey Pines, yang menjadi lokasi tetap kejohanan sejak 1968, turut menganjurkan Farmers Insurance Open minggu lalu dan pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (US Open) pada 2008 dan 2021.

“Kami sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan pihak bandar San Diego untuk memastikan kejohanan kekal di California Selatan. Sebagai anak jati California Selatan, saya memahami betapa peritnya situasi ini bagi semua yang terkesan dengan kebakaran tersebut,” jelas Woods.

Kejohanan The Genesis Invitational dijangka kembali ke Riviera Country Club pada tahun 2026. Malah, Riviera turut disenaraikan sebagai lokasi acara golf untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya percaya dengan kekal di California Selatan, kita boleh meningkatkan lagi usaha kutipan dana untuk membantu mangsa kebakaran dan mengurangkan beban yang mereka tanggung,” tambah Woods. – AGENSI