KECIL tetapi berbisa, itu gambaran paling tepat buat pelumba muda berbasikal trek negara, Nur Alyssa Farid, yang kini semakin mencuri perhatian sebagai bintang baharu sukan ini.
Pada usia 19 tahun, Alyssa bukan sekadar menumpang nama dalam skuad elit, malah telah membuktikan keupayaannya bersaing dengan pelumba-pelumba senior menerusi pencapaian cemerlang dalam Siri Piala Presiden baru-baru ini.
Kejayaan merangkul pingat perak dalam acara pecut, serta dua gangsa dalam keirin dan pecut individu dalam Piala Presiden 2025 itu memperlihatkan betapa Alyssa semakin hampir untuk mengukuhkan namanya sebagai jaguh trek negara.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu sebelum ini berada dalam skuad pelapis kebangsaan, namun kejayaannya mencatat rekod peribadi baharu dalam acara pecut “flying” 200 meter (m) dengan kepantasan di bawah 11 saat iaitu 10.953 saat (s), membuka peluang untuknya menyertai kem podium (elit).
Catatan itu juga menobatkannya sebagai pelumba wanita kedua terpantas negara, hanya dipisahkan kurang 2.10s daripada jaguh trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Kini, peluang buat Alyssa untuk membuat kejutan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025 di Nilai semakin cerah, terutamanya selepas Aliana Syafika Azizan terpaksa diketepikan akibat kecederaan kepala dan patah tulang rusuk yang dialaminya pada kejohanan kebangsaan, Oktober lalu.
Bergandingan bersama Nurul Izzah dan Anis Amira Rosidi, Alyssa bakal menjadi tunjang skuad wanita negara dalam acara pecut berpasukan di kejohanan berprestij itu.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi saya di peringkat elit. Saya sudah boleh memberi saingan kepada pelumba senior seperti Izzah,” kata Alyssa kepada Mingguan Malaysia.
Mengidolakan jaguh dunia dan Olimpik dari Britain, Emma Finucane, Alyssa mengakui bahawa peralihan ke peringkat senior bukan tugas mudah, namun baginya, cabaran ini adalah sesuatu yang perlu ditempuhi untuk menjadi lebih hebat.
“Saingan di peringkat elit lebih mencabar kerana pelumba lebih berpengalaman, bijak mengatur strategi dan tahap kepantasan mereka lebih tinggi. Saya perlu berlumba lebih kerap di luar negara untuk menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran taktikal,” jelasnya.
Tahun lalu, Alyssa mencipta sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara yang layak ke final keirin Kejohanan Dunia Remaja Berbasikal Trek 2024 di Luoyang, China pada Ogos lalu.
Namun, impiannya tidak terhenti di situ kerana matlamat lebih besar kini menjadi pembakar semangatnya untuk menjadi pelumba trek wanita terbaik Asia dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
“Izzah sudah membuktikan bahawa ia bukan mustahil apabila layak ke Olimpik Paris 2024. Saya percaya, jika saya terus bekerja keras dan menimba pengalaman, saya juga mampu mencapai impian itu,” katanya penuh tekad.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri, mengakui bahawa potensi Alyssa cukup besar, justeru satu perancangan terbaik perlu diatur demi memastikan pelumba muda ini terus berkembang.
“Alyssa telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam Siri Piala Presiden, dan kami amat berpuas hati dengan kemajuannya. Justeru, kami mahu satu perancangan terbaik diatur, bukan sahaja demi kebaikan Alyssa malah masa depan sukan berbasikal negara,” kata Harnizam.
Menurutnya, pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley, akan berbincang mengenai program khas buat Alyssa bagi tahun ini.
“Ada kemungkinan kami akan menyenaraikannya dalam Piala Negara UCI musim ini. Bagaimanapun, tiada apa-apa yang telah dimuktamadkan lagi kerana terdapat banyak perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu,” tambahnya.-UTUSAN
BIODATA
Nama: Nurul Alyssa Farid
Umur: 19 tahun
Asal: Muar, Johor
Pendidikan: Sekolah Sukan Bukit Jalil
Idola: Emma Finucane
Pencapaian:
Keirin remaja wanita Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 – Perak
Pecut individu Piala Presiden Siri Tiga 2025 – Perak
Pecut individu Piala Presiden Siri Satu 2025 – Gangsa
Keirin Piala Presiden Siri Dua 2025 – Gangsa
Keirin Kejohanan Dunia Remaja Berbasikal Trek 2024 – keenam