PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa akur apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China, hari ini.
Soon Huat-Shevon tewas dalam aksi suku akhir kejohanan kepada pasangan Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 21-15, 21-11 dalam tempoh 38 minit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kekalahan tersebut pastinya menjadi kejutan buat pasangan negara memandangkan mereka berada di ranking ketiga dunia berbanding lawan di tangga ke-25.
Itu merupakan kali pertama mereka bertemu selepas Hidayatullah-Felisha merupakan pasangan yang baru digandingkan pada Ogos lalu oleh Herry Iman Pierngadi yang kini bertugas sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.
Selepas ini dua wakil beregu lelaki negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal beraksi bagi memburu tiket ke separuh akhir.
Sze Fei-Izzuddin dijadual menentang wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi manakala Aaron-Wooi Yik bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia. – UTUSAN