Audrey ceriakan kem Malaysia 

Sukan

MELAKA: Pemain nombor dua remaja wanita negara, Audrey Teng Wen Si  menjadi satu-satunya pemain negara yang masih meneruskan kemaraan pada Kejohanan Antarabangsa Persekutuan Tenis Asia (ATF) Bawah 14 Tahun di sini.

Dia mudah melepasi saingan pusingan kedua dalam saingan di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini hari ini ketika enam rakannya iaitu empat pemain remaja wanita dan dua lelaki tersingkir sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir esok.

Audrey selaku pilihan pertama kejohanan bagi kategori wanita tidak berdepan tentangan sengit apabila mudah menewaskan rakan senegara, Reefa Amani Ruhil Amal menerusi keputusan 6-0, 6-0.

Pada pusingan pertama semalam, dia yang menduduki ranking ke-32 Jelajah Tenis Junior ATF turut cemerlang apabila mudah mengetepikan pemain Korea, Kim Yeyul dengan kemenangan mudah juga dengan keputusan 6-0, 6-0.

Audrey berkata, cabaran sebenarnya adalah pada pusingan suku akhir esok kerana dua perlawanan awal dia kurang diberikan tentangan sengit apabila menang mudah dalam dua aksi sebelum ini.

“Saya akan bermain baik di suku akhir mungkin ini cabaran getir menanti saya dan impian saya untuk melangkah ke perlawanan akhir Sabtu ini,” ujarnya ketika ditemui selepas perlawanan pusingan kedua.

Empat pemain remaja wanita yang tersingkir ialah Adelia Mohd. Zulkarnain, Isabella Rihanna Mohammad Azim, K. Dhea Dalisha dan Elvina Batrisyia Saiful Amar.

Sementara itu dua remaja lelaki yang terkandas di pusingan kedua ialah Amar Ziqry Mohd. Azwa dan V. Dorai.- UTUSAN