Nurul Izzah pilihan tepat

Politik

MELAKA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pencalonan Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden menjelang pemilihan parti itu adalah wajar dan tepat untuk membawa suara baharu reformasi kepada rakyat serta masyarakat.

Beliau yang menawarkan diri mempertahankan jawatan Naib Presiden parti berkata, parti itu pernah ditadbir oleh seorang wanita iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden PKR serta pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pertama Wanita.

Menurutnya, bukan itu sahaja malah Wan Azizah pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama Wanita dari PKR dari 2018 hingga 2020.

“Sebab itu kita mahu Nurul Izzah harus diberi peluang itu kerana ini akan menjadi satu lonjakan baharu dan kita mahu nafas dan kekuatan baharu untuk kita melangkah ke depan dengan satu semangat serta jiwa baharu.

“Saya tidak nafikan sumbangan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli dan itu adalah pandangan kita namun kita perlu melangkah ke depan dan melihat Nurul Izzah adalah legasi serta reformasi yang akan memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal memegang jawatan Perdana Menteri buat penggal kedua,” katanya pada Majlis Makan Malam Keadilan Hang Tuah Jaya di Bakar Batu di sini semalam.

Amirudin berkata, beliau mahu ahli parti melakukan perubahan membersihkan pentadbiran mengangkat muka-muka baharu serta muda untuk memberi nafas dan nyawa kepada rakyat Malaysia bahawa parti Keadilan adalah parti yang akan membawa perubahan itu.

Menurutnya, beliau yakin pada pemilihan kali ini parti itu mampu berdiri kukuh dan teguh seperti mana beberapa pemimpin tertinggi meninggalkan Keadilan pada 2004, 2004, 2007, 2010, 2013 dan 2020.

Justeru beliau berkata, pemilihan ini amat penting memilih calon berwibawa untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal buat penggal kedua selain mensasarkan untuk menambah lebih 50 kerusi Parlimen serta memenangi semula kerusi Parlimen Tangga Batu dan mengekalkan Hang Tuah Jaya. – UTUSAN