KUALA LUMPUR: UMNO Sabah akan mencadangkan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, cadangan itu mengambil kira pertimbangan kedudukan Bung yang merupakan orang nombor satu dalam BN dan UMNO negeri.
“Untuk UMNO Sabah memang tradisinya (poster boy) adalah pengerusi BN, ketua UMNO iaitu Datuk Bung,” katanya pada sidang media khas di sini, semalam.
Pada 4 April lalu, Bung yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, BN tidak mengutamakan siapa akan diangkat sebagai ‘poster boy’ pada PRN kerana semua calon mempunyai kelayakan sebagai ketua menteri.
Bagaimanapun, Suhaimi turut berkata, pakatan PH-BN masih belum menamakan mana-mana pemimpin sebagai ‘poster boy’ mereka.
“Untuk BN-PH kita kena dapatkan nasihat daripada presiden kedua-dua parti,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Libaran.
Dalam perkembangan sama, Suhaimi turut menjelaskan isu pembahagian kerusi antara BN dan PH sudah selesai dibincangkan dimana BN dipersetujui akan bertanding 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PH pula sebanyak 33 kerusi DUN.
“Tiada isu pertindihan dari segi pembahagian kerusi dan semuanya berjalan lancar, jadi ia memudahkan gerak kerja kita untuk menghadapi PRN ini,” katanya. – UTUSAN