Proton tawar insentif tukar kereta lama kepada model baharu

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Proton memperkenalkan Program Proton Xchange bagi menggalakkan pemilik kereta lama menukarnya kepada model baharu, sekali gus menyokong mobiliti hijau dan keselamatan jalan raya negara.

Program pengenalan dengan peruntukan RM4.8 juta itu dijalankan oleh Car Medic Sdn Bhd, sebuah fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF) sehingga akhir Disember ini.

Ia terbuka kepada pemilik semua jenis kereta tidak kira jenama berusia lebih 15 tahun yang dianggap tidak boleh digunakan di jalan raya dan menukarkannya dengan model Proton baharu.

Program itu menawarkan insentif dagangan lebihan (overtrade) bernilai RM2,000 kepada pembeli model Proton baharu termasuk model elektrik paling laris, Proton e.MAS 7.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Proton menunjukkan kepimpinan sebagai syarikat automotif nasional dan menjadi ejen perubahan dalam industri.

Menurutnya, tiada jenama automotif lain yang mempunyai program dengan kedalaman dan skop yang sama, dan ia akan membawa pengurangan yang ketara kepada jejak karbon mereka

“Kementerian menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah Proton dengan melihat melangkaui sasaran jualan dan keuntungan semata-mata.

“Walaupun inisiatif Proton akan meningkatkan jualan kereta baharu, jangan lupa ia juga membantu mengeluarkan kenderaan lama dan kurang mesra alam dari jalan raya,” katanya ketika merasmikan pelancaran program berkenaan di Pusat Kecemerlangan Proton, hari ini.

Anthony turut mengumumkan cukai jalan percuma selama setahun kepada semua kereta baharu yang didaftarkan di bawah Program Proton Xchange.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, program tersebut mewakili langkah penting ke arah masa depan automotif yang lebih selamat dan lebih hijau untuk Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen Proton kepada pelanggan dan negara

“Selain itu, kami berharap inisiatif ini akan mendorong orang ramai untuk menukar kereta lama dengan kereta baharu yang mempunyai ciri keselamatan canggih yang mengurangkan risiko keselamatan di jalan raya,” katanya.

Pemilik yang ingin menyertai program perlu mengemukakan dokumen seperti Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), Sijil Pemusnahan (COD) daripada Car Medic dan borang pendaftaran baharu JPJK1KD sebagai bukti pembatalan rasmi pendaftaran kenderaan lama oleh JPJ.

Car Medic yang dilantik oleh JPJ sejak 2020 akan menguruskan pembatalan pendaftaran, pelupusan kenderaan lama secara selamat serta menawarkan perkhidmatan e-Dereg di lokasi pelanggan.

Proton kini satu-satunya jenama automotif tempatan yang menawarkan pilihan rangkaian kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), mild-hybrid dan EV, serta dalam perancangan memperkenalkan model EV kedua tidak lama lagi. – UTUSAN