Sektor teknologi dijangka susut pada separuh kedua

Perniagaan

PETALING JAYA:Sektor teknologi termpatan dijangka mengalami penyusutan pendapatan pada separuh kedua 2025 disebabkan permintaan mula berkurangan akibat kesan tarif, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun HLIB menjangkakan pendapatan akan kekal kukuh sehingga suku kedua 2025, ia memberi amaran, risiko semakin meningkat apabila sektor itu masuk ke separuh kedua tahun.

Katanya, unjuran konsensus bagi syarikat teknologi Malaysia masih mencerminkan pertumbuhan kukuh untuk 2025/2026, dengan sedikit semakan penurunan pendapatan setakat ini walaupun risiko makro ekonomi semakin meningkat.

“Pada pandangan kami, ia mewujudkan potensi mengecewakan pada suku kedua 2025.

“Kami merasakan semakin lama isu tarif ini tidak diselesaikan sepenuhnya, semakin besar potensi kesan ekonomi negatif akibat ketidaktentuan yang berterusan sepanjang 2025.

“Kami menjangkakan semakan penurunan pendapatan oleh pihak konsensus bagi sektor ini pada 2H25, apabila kelemahan permintaan akibat kesan tarif mula dirasai, ditambah pula dengan pelarasan inventori pada suku pertama 2025,” katanya dalam satu nota kajian.

HLIB telah menjalankan lawatan lapangan bersama lapan syarikat teknologi dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Pulau Pinang pada penghujung April 2025.

“Lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini mengukuhkan pandangan kami tentang kedudukan Malaysia sebagai penerima manfaat utama dalam usaha kepelbagaian rantaian bekalan yang sedang berlaku, dengan strategi China+ 1 kekal sebagai faktor sokongan, walaupun terdapat pengurangan ketegangan dalam perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China baru-baru ini,” katanya.

Dengan jangkaan pendapatan yang mungkin menyusut bermula 2H25, firma penyelidikan itu mengekalkan penilaian ‘neutral’ terhadap sektor ini.

Dalam kerangka kerja itu, HLIB memilih UWC Bhd. (saranan: beli, harga sasaran: RM2.78) kerana pemacu pertumbuhan struktural yang jelas dan mengekalkan Frontken Corp Bhd. (saranan: pegang, harga sasaran RM4.00) serta Inari Amertron Bhd (saranan: pegang, harga sasaran: RM2.10) sebagai saham utama untuk dikumpul ketika berlaku penurunan harga.

“Hasil semakan tarif sektoral ke atas semikonduktor di bawah siasatan Seksyen 232 merupakan acara risiko utama yang perlu diperhatikan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

habis/