PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan yakin mampu menjejakkan kaki ke pentas final Sukan SEA Thailand pada Disember ini.
Pengendalinya, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, ancaman terbesar dalam temasya dwitahunan itu dijangka hadir menerusi skuad tuan rumah.
Katanya, skuad negara tidak gentar dengan mena-mana negara yang menggunakan pemain naturalisasi bagi menghadapi Sukan SEA 2025, termasuk Filipina.
“Kita tahu hanya satu negara yang menggunakan naturalisasi iaitu Filipina, namun saya tidak mahu menjadikannya sebagai beban atau takut sebab kita tahu mereka akan guna pemain luar.
“Keutamaan saya adalah Thailand di mana mereka sudah melakukan latihan dua tahun tanpa henti. Kalau kita tengok pada perkembangan prestasi pemain di Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2025 di Singapura, kita tewas tipis kepada mereka.
“Bagi saya, kita mampu dan perbaiki kesilapan yang dilakukan di Singapura. Kita mampu lakukan kejutan,” katanya.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan sasaran minimum untuk mara ke final bagi skuad 7s lelaki kebangsaan pada temasya dwitahunan itu dan Nik Safuan optimis ia mampu direalisasikan.
“Ikutkan pada prestasi kita sekarang ini memang kita mampu layak ke final. Sasaran utama kami adalah melayakkan diri ke final cuma warna kilauan masih dalam pemerhatian berdasarkan beberapa kejohanan yang bakal disertai,” katanya.
Sebagai persiapan, skuad negara akan menyertai kejohanan empat penjuru menentang Hong Kong, Singapura dan Thailand di Bangkok pada Ogos ini sebelum beraksi di Siri Asia dekat Hangzhou, China, September ini.-UTUSAN