SHAH ALAM: Kenyataan Zaharuddin Muhammad disifatkan sebagai naratif sistematik berbahaya dan memecah belah masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan berbaur perkauman Yang Dipertua Pas Sungai Buloh itu yang jelas cuba menyemai kebencian dan ketakutan rakyat.
Jelasnya, sindiran terhadap pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianggap satu penghinaan terhadap institusi pertahanan negara.
“Johny Lim berkhidmat selama lebih 41 tahun dengan penuh dedikasi dan dipilih atas dasar kelayakan dan bukannya bangsa.
“Menghina beliau adalah tindakan biadab terhadap integriti ATM dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan tentera.
“Berkaitan dakwaan Zaharudin bahawa negara akan melantik seorang Perdana Menteri berbangsa Cina, ia provokasi jahat yang cuba mencetuskan ketegangan kaum. Isu pelantikan itu adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya selepas beliau dan dan ahli AMK negeri membuat laporan polis mengenai isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.
Kelmarin, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim yang disifatkan sebagai melakar sejarah kerana beliau merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.
Ekoran itu, Zaharuddin membuat hantaran di media sosial yang seolah-olah mempertikaikannya dengan mengaitkan tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia akan menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama.
Muhammad Izuan berkata, pihaknya menolak politik kebencian dan perkauman.
“Justeru, kami menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara itu sekali gus mengambil tindakan undang-undang yang tegas,” ujarnya.
Tambah beliau, kenyataan berunsur hasutan dan rasis tidak boleh dipandang ringan apatah lagi daripada individu yang mempunyai pengaruh politik. – UTUSAN