Tentu ada yang tidak kena perairan Langkawi mudah bolos – Ahli Parlimen

Perniagaan

ALOR SETAR -Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah senada dengan kerajaan negeri berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada etnik Rohingya melalui perairan pulau peranginan tersebut yang mudah dibolos mereka.

Mohd. Suhaimi berkata, sudah masanya perkara tersebut disiasat dengan telus termasuk mengenalpasti punca utama masalah tersebut sebelum isu berkenaan menjadi lebih serius.

“Tentulah ada (tali barut)… sesuatu yang tidak kena di situ bila PATI ini mudah bolos kerana kalau kita kaji balik, perkara ini boleh jadi satu perniagaan atau ekonomi di mana boleh buat duit. Saya tidak mahu menuding jadi kepada siapa tetapi yang penting perkara ini perlu diatasi dengan segera.

“Orang Langkawi sendiri semakin tidak selesa dengan kemasukan PATI ini termasuk penempatan di Bukit Malut itu. Penempatan di situ juga semakin bertambah hari demi hari, rumah makin bertambah. Hari itu satu bot dapat ditahan dan dua dihalau, itu yang ‘terkena’… yang terlepas kita tidak tahu,” katanya ketiga dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Mohd. Suhaimi, beliau tidak menafikan kedudukan perairan Langkawi yang terletak bersebelahan dengan Thailand memudahkan bot PATI masuk ke negara ini.

“Laut Andaman itu cuba setengah jam bot daripada perairan Thailand di mana banyak pulau-pulau di situ. PATI ini menanti sahaja bila laut itu tidak kelibat pihak penguatkuasa mereka akan terus masuk.

“Pangkalan pihak penguatkuasa kita terletak jauh di Kuah yang akan mengambil masa dua jam untuk tiba di kawasan itu bila orang kampung bagi aduan. Bila sampai semua PATI sudah tiadalah. Saya cadangkan agar satu depot diadakan di kawasan Laut Andaman ini buat sementara waktu bagi memudahkan kawasan itu dipantau. Bila PATI tahu ada depoh di situ mereka pun gerun,” katanya. – KOSMO! ONLINE