MELAKA: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengumumkan tidak bertanding sebarang jawatan Naib Presiden ataupun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kerana mahu memberikan peluang kepada muka baharu dalam parti.
Ketua Cabang Hang Tuah Jaya itu berkata, keputusan yang diambil itu bertujuan ingin memberi laluan kepada calon-calon muka baru sekali gus dapat memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
“Saya tidak menawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan bagi memberi laluan kepada kawan-kawan yang lain. Saya pernah memegang jawatan Naib Presiden sebelum ini dan dari segi pengalaman saya fikir sangat mengujakan waktu pemilihan ini.
“Saya harus memberi keutamaan terutama untuk mengurus cabang Hang Tuah Jaya selepas saya menang jawatan ketua baru-baru ini dan paling penting membantu Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik Kanan.
“Tentunya tugas itu menuntut satu tanggungjawab yang besar dan saya percaya dengan memberikan sokongan kepada rakan-rakan yang lain ia sangat membantu untuk melakukan penyegaran pimpinan-pimpinan yang baharu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Keadilan Hang Tuah Jaya di Bakar Batu di sini semalam.
Mengulas lanjut Shamsul Iskandar berkata, keputusan yang diambilnya itu setelah menimbang banyak perkara termasuk ingin memperkukuhkan semula kedudukan cabang Hang Tuah Jaya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tahun depan.
Beliau mengakui keputusan tersebut telah menguris hati sebahagian penyokongnya yang telah bertungkus lumus memastikannya memenangi semula jawatan ketua cabang pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
“Saya tahu mereka (penyokong) kecewa tetapi saya telah jumpa mereka dan terangkan sebab mengapa saya tidak menawarkan diri bertanding sebarang jawatan pada pemilihan kali ini,” ujarnya.
Justeru beliau mengingatkan kepada semua anggota parti bahawa pemilihan ini adalah satu waktu yang harus digunakan untuk memilih pemimpin yang akan memimpin parti berdepan dengan cabaran PRU16 yang akan datang. – UTUSAN