MELAKA: Kontinjen OKU Pekak Negeri Melaka yang dikendalikan Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MELSDEAF) memerlukan dana sebanyak RM203,725.20 bagi membolehkan penyertaan mereka ke Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22 di Kuching, Sarawak, Oktober ini.
Presidennya, Kamarzaman Harun berkata, jumlah itu merangkumi kos latihan pusat bagi lima jenis sukan sebanyak RM38,228 dan persiapan penghantaran kontinjen berjumlah RM165,497.20.
“Kami akan menghantar seramai 61 atlet dan pegawai untuk mewakili Melaka dalam lima acara iaitu futsal, tenpin boling, olahraga, badminton dan orienteering. SOPMA adalah temasya utama sukan bagi komuniti pekak di negara ini dan dianjurkan setiap dua tahun sekali.
“Oleh kerana penganjurannya di Sarawak, kos yang terlibat sangat tinggi. Setakat ini kami belum menerima sebarang bantuan, jadi majlis hari ini diadakan sebagai usaha memperkenalkan peranan persatuan dan dalam masa sama mengumpul dana,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MELSDEAF) 2025 di Ayer Keroh sini, hari ini.
Menurut Kamarzaman, pihaknya berharap kerajaan negeri dan sektor swasta dapat bersama membantu merealisasikan hasrat atlet-atlet pekak yang mewakili Melaka mencapai kejayaan di pentas kebangsaan.
“Sebagai contoh, Melaka pernah melahirkan atlet bertaraf dunia seperti Boon Wei Ying, atlet badminton kelahiran Klebang yang memenangi tiga pingat termasuk emas pada Deaflympics Games 2022 di Brazil.
“Beliau kini dalam persiapan menyertai SEA Deaf Games di Jakarta Ogos ini dan Deaflympics ke-25 di Tokyo pada November depan. Ini bukti bahawa atlet pekak juga mampu mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.
Jelas beliau, sejak penubuhan MELSDEAF pada 2013, pelbagai jenis sukan telah diceburi warga pekak negeri itu antaranya badminton, bola sepak, futsal, olahraga, boling dan orienteering.
Katanya, dana yang dikumpul juga akan digunakan untuk menampung pelaksanaan program dan aktiviti sukan komuniti pekak sepanjang tahun ini. – UTUSAN