ARAS SMK Jalan Tiga buru gelaran juara SSR 2025

Sukan

KAJANG: Skuad Akademi Ragbi Selangor (ARAS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga memburu gelaran juara dalam Kejohanan Super School Rugby (SSR) 2025 bagi kategori Divisyen Akademi (SSRA) yang mula membuka tirai pada 4 Mei lalu.

Jurulatih pasukan ARAS, Mohd Faiz Md Ali, 38, berkata, pasukan bimbingannya kini dalam keadaan bersiap sedia dan lebih berpengalaman berbanding tahun lalu yang kurang bernasib baik apabila hanya muncul sebagai naib juara pada edisi lalu.

“Tahun lepas kita finalis, tapi tewas kepada Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) menjadikan kita di tempat-2. Jadi tahun ini kita cuba tampilkan persembahan lebih baik agar dapat menyaingi pasukan-pasukan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Jersi ARAS baru-baru ini.

Skuad Akademi Ragbi Selangor (ARAS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga akan menggunakan jersi baharu dalam Kejohanan Super School Rugby (SSR) 2025.

ARAS yang baru sahaja menamatkan aksi Kejohanan Rugby Borneo 7s di Sandakan, Sabah 17 hingga 18 April lalu menjadikan kejohanan itu sebagai satu medan persediaan pasukannya dalam kejohanan SSR ini.

“Kami baru sahaja pulang dari Kejohanan Borneo dua minggu lepas, itu lebih kepada nak dapatkan ‘match fitness’ buat pasukan dan Alhamdulillah pasukan Bawah-15 dan B-17 berjaya meraih kedudukan podium.

“Isnin depan adalah perlawanan pertama, kita akan bertandang ke Batu Pahat menentang pasukan HSBP, SMK Tinggi Batu Pahat, kami akan cuba buat yang terbaik dan pemain juga sudah bersedia,” jelasnya.

Tambah faiz, jumlah penyertaan pada musim ini juga meningkat bagi kategori SSRA dan melihat itu sebagai satu cabaran yang sihat.

“Tahun lepas cuma ada 8 pasukan, sekarang sudah 12 pasukan termasuk pasukan dari kelab dan dua sekolah sukan iaitu, jadi memang saingan lebih sengit. Tapi kita tetap akan beri yang terbaik dan cuba menyaingi mereka untuk mencapai target menjuarai kejohanan SSR musim ini.

“Bagi saya, menentang dengan sekolah-sekolah sukan dan kelab yang hebat akan membantu pemain-pemain dengan pendedahan yang lebih luas dan bermain secara lebih matang untuk capai apa yang sudah kita tetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, kapten pasukan ARAS, Muhammad Izzul Rayyan meletakkan matlamat yang tinggi buat pasukannya untuk menjuarai SSR musim ini dan jadikan kejohanan kali ini sebagai satu cabaran besar buat pasukannya.

“Matlamat saya adalah untuk menjuarai SSR musim ini. Kami telah memberikan yang terbaik sepanjang latihan, dengan komitmen sepenuhnya dalam setiap sesi latihan sebab bagi saya perlawanan kali ini memang satu cabaran besar untuk bergelar juara,” katanya.

Pemain berusia 17 tahun itu berkata, dia sudah cuba mengenal pasti beberapa kekurangan yang terdapat dalam permainan pasukannya dan memperbaiki semula corak permainan mereka menjelang kejohanan SSR dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan lain.

“Kami tingkatkan latihan dan menilai semula perlawanan-perlawanan kami tahun lalu, masih perlukan penambahbaikan dan saya akui setiap perlawanan pasti ada kekurangan, jadi kami akan terus fokus untuk memperbaiki secara berperingkat.

“Baru-baru ini kami adakan perlawanan persahabatan dengan SM Sains Selangor (SMSS) untuk kenal pasti masalah dalam permainan kami dan baiki semula dalam latihan,” ujarnya.

ARAS bakal bersaing dengan pasukan berpengalaman seperti SSTMI, juara SSR musim lalu, termasuk SMK King Edward VII, Sultan Ismail College, SMK Shah Alam, serta kelab COBRA dan KL Tigers menjadikan keseluruhan 12 pasukan sekaligus meningkatkan tahap saingan dan cabaran lebih sengit dalam kejohanan kali ini.- UTUSAN