PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mengakui dirinya berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan pada 27 hingga 31 Mei ini.
Atlet berusia 29 tahun itu berkata persiapannya menghadapi kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dengan memberi tumpuan kepada teknik balingan.
“Setakat ini, persiapan saya dan pasukan semuanya okay, yang penting tiada kecederaan. Tiada banyak perkara yang perlu diubah sekarang. Fokus kami adalah kepada teknik.
“Saya jaga makan, tidur dan latihan seperti biasa. Tiada perkara besar yang perlu diubah dalam latihan. Yang penting, kena kekal sihat,” katanya.
Atlet kelahiran dari Negeri Sembilan itu memulakan musim ini dengan cemerlang apabila meraih perak di Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Brisbane pada 14 Mac lalu sebelum menduduki tempat keempat kejohanan Maurie Plant Meet di Stadium Lakeside, Melbourne, 29 Mac lalu.
Irfan raih perak selepas membuat balingan sejauh 60 meter (m) di Kejohanan Trek dan Padang Queensland sebelum melakukan catatan 59.09m di kejohanan Maurie Plant Meet.
Sebagai rekod, Irfan merupakan pemegang rekod kebangsaan selepas melakukan catatan 62.55m di Linz, Austria pada 2017.- UTUSAN